Biasanya, kita akan minum apabila berasa dahaga. Apatah lagi jika cuaca panas terik, semakin haus terasa tekak. Namun, pernahkah anda dengar penyakit pelik yang membuatkan penghidapnya tidak pernah cukup dengan air dan sentiasa mahu minum sehingga tidak dapat tidur kerana haus?
Salah seorang penderita penyakit ini ialah Marc Wubbenhorst. Lelaki dari Bielefeld, Jerman ini mengalami mimpi ngeri sepanjang hidupnya apabila dia tidak pernah cukup dengan kuantiti minuman seperti manusia normal.
Wubbenhorst menghadapi kesukaran dalam memastikan jumlah air yang tepat dengan keperluan tubuhnya. Semuanya disebabkan oleh penyakit ‘Diabetis insipidus’ yang dihidapinya sejak kecil. Disebabkan penyakit itu, dia perlu minum sehingga 20 liter air setiap hari, berbanding manusia normal yang hanya perlukan 2 liter air sehari.
Jika tidak, lelaki yang bertugas sebagai arkitek ini akan berdepan dengan risiko maut akibat kekurangan air dalam tubuh. Tambahan lagi, keadaan buah pinggangnya yang berfungsi dengan pantas menyebabkan tubuhnya menghilangkan cecair hampir secepat dia meminumnya. Kesannya, dia membuang air kecil secara kerap sehinggakan terpaksa berulang-alik ke tandas sebanyak 50 kali dalam tempoh 24 jam.
Kekerapan berasa haus yang melampau menjadi masalah paling berat dalam hidup Wubbenhorst. Tidak pernah cukup dengan dua atau tiga gelas air menyebabkan dia perlu sentiasa membawa bekalan minuman yang banyak untuk ke mana-mana. Paling tidak, lelaki ini harus mengisi semula air selepas habis kurang dari tempoh sejam.
Dengan kata lain, tubuh Wubbenhorst hanya mampu bertahan dalam masa satu jam tanpa meminum air. Jika tidak, dia mula mengalami gejala dehidrasi teruk seperti kekeliruan, pening kepala dan bibir kering selain dahaga yang melampau. Seterusnya mengakibatkan dia berada dalam kemurungan.

Selain itu, Wubbenhorst turut mengalami masalah kekurangan waktu tidur. Bayangkan, dalam keadaan yang memerlukan dia meneguk minuman dan membuang air kencing secara kerap mengakibatkan masa untuk berehat terbatas. Malah, dia mengakui tidak pernah tidur lebih dari dua jam sepanjang hidupnya.
Dalam pada itu, Wubbenhorst perlu merancang waktu kerjanya sebagai arkitek terutama apabila melibatkan tugasan luar. Keadaan lebih mencabar sekiranya memerlukan dia menaiki kapal terbang atau pengangkutan awam untuk ke lokasi tertentu. Kerana itu dia harus mengambil kira faktor perjalanan jarak jauh dalam setiap kerja yang dilakukan. Kebimbangan berdepan perkara buruk menjadi punca dia takut mengambil sebarang risiko.
Wubbenhorst pernah mengalami insiden menakutkan sewaktu menaiki kereta api pulang dari kerja. Kebetulan pada waktu itu, dia tidak membawa bekalan air sebagai minuman. Namun, memikirkan jarak untuk sampai ke rumah tidak mengambil masa yang lama, Wubbenhorst tidak menganggapnya sebagai masalah.
Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila pengangkutan tersebut secara tiba-tiba mengalami masalah teknikal. Akibatnya, dia terlewat untuk sampai ke stesen. Sebaik keluar dari kereta api, Wubbenhorst mengalami gejala dehidrasi yang teruk. Nasibnya baik kerana dibantu oleh seorang rakan yang segera memberinya air minuman.
Penyakit ini turut menjadi kekangan kepada Wubbenhorst untuk terlibat aktif dalam sukan lasak seperti bola sepak dan berlari yang memerlukan banyak tenaga.

Sumber Organisasi Diabetes Insipidus menjelaskan bahawa penyakit sering merasa dahaga dan kerap membuang air kecil ini merupakan keadaan yang jarang berlaku. Kira-kira satu daripada 25,000 orang dikenal pasti mengalami penyakit ini.
Berdasarkan kes-kes yang pernah dilaporkan, seseorang pesakit boleh menghasilkan 20 liter air kencing setiap hari. Dalam pada itu, suntikan insulin atau ubat pengawalan gula darah tidak diperlukan kerana ia berbeza dengan diabetes mellitus.
Sumber Infiniti
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.